SEJARAH

Sekolah Rendah Kebangsaan Ampang Campuran (SRKAC) terletak di tengah-tengah sebuah perkampungan yang dinamakan Ampang Campuran. Kampung ini dibuka pada tahun 1969. Sekolah ini mendapat nama sempena nama kampung ini yang terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum dan bangsa.

Tapak SRKAC merupakan tanah kerajaan Negeri Selangor yang telah diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan. Memandangkan perkembangan penduduk yang semakin pesat dan masalah jarak sekolah yang jauh dari rumah, maka Kementerian Pendidikan telah bersetuju membina sebuah sekolah di kampung ini.


Pada awal kewujudan SRKAC, sekolah ini tidak mempunyai bangunannya sendiri. Hanya terdapat 10 orang guru terlatih dan 3 orang guru sementara yang menjadi kumpulan tenaga pengajar yang pertama di sekolah ini. Bahagian pentadbiran dibantu oleh seorang pembantu tadbir dan dua orang pekerja am.


Jumlah murid-murid pada ketika itu adalah seramai 450 orang yang terdiri daripada tahun 1 hingga 5 sahaja. Memandangkan ketiadaan bangunan pada masa itu, maka murid-murid SRKAC terpaksa menumpang di SK Taman Tasik selama 3 bulan. Dalam bulan April 1986, murid-murid SRKAC sekali lagi terpaksa berpindah dan menumpang pula di SMK Taman Tasik (SMKTT) selama satu tahun lebih. Pada peringkat awal, murid-murid bersekolah pada sesi pagi, namun terpaksa bertukar ke sesi petang kerana pertambahan murid SMKTT.


Pada tahun 1987, jumlah murid meningkat menjadi 780 orang. Bulan Jun 1987, akhirnya bangunan SRKAC siap dibina. Selepas cuti Hari Raya Puasa, guru-guru dan murid-murid berpindah ke bangunan baru sekolah mereka.